KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di enam buah negeri semalam
semakin buruk apabila lebih 41,098 mangsa terpaksa mendapat perlindungan di
pusat-pusat pemindahan. Banjir itu yang disebabkan fenomena kedudukan bulan
berhampiran dengan bumi mengakibatkan berlakunya air pasang besar di Pantai
Timur selain hujan lebat yang turun secara berterusan di Pantai Barat.
Kelantan merupakan negeri paling teruk dilanda banjir dengan
jumlah mangsa dipindahkan setakat pukul 10 malam tadi ialah 21,594 orang
diikuti Terengganu (12,403), Pahang (6,286), Sabah (287), Perlis (93) dan Perak
435 orang.
Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Jabatan
Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan banjir
menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut
secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan
November hingga Mac.
Sumber: KOSMO online 26 Disember 2014 Hakcipta terpelihara